1 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) menolak dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibarahim bahawa berlaku kebocoran dan penyelewengan dalam urusan pembelian vaksin Covid-19 dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibuat dengan menggunakan peruntukan RM3 bilion diluluskan menerusi Belanjawan 2021, pada Ogos lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata semua urusan pembelian dan pemerolehan vaksin Covid-19 dibuat secara telus selepas mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kerajaan amat berhati-hati dalam urusan perolehan vaksin Covid-19 dan kita hanya membelinya dengan menggunakan dua kaedah iaitu perolehan terus daripada syarikat pengeluarnya dan satu lagi menerusi kaedah ‘Fill and Finish’ atau pemindahan teknologi ke Malaysia seperti dilakukan dalam urusan pembelian vaksin Sinovac dari China kepada syarikat Pharmaniaga.
“NPRA dan PBKD akan melakukan penelitian secara mendalam terhadap keberkesanan dan kesan sampingan setiap vaksin berkenaan terlebih dahulu, jadi tidak timbul isu penyelewengan dan pembaziran (seperti dibangkitkan oleh Anwar) kerana kerajaan amat berhati-hati dan telus.
“Malah, saya dan Khairy Jamaluddin selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, sudah pun memberikan penjelasan terperinci kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai kaedah pemerolehan ubat-ubatan berkenaan, sebelum ini,” katanya ketika ditemui wartawan PNBBC ketika menghadiri Majlis Solat Hajat Perdana sempena setahun pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Masjid Putra di sini, malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan Anwar melahirkan kebimbangan mengenai dua kaedah pemerolehan berbeza iaitu rundingan terus dan menerusi pihak ketiga digunakan kerajaan untuk membeli vaksin Covid-19 bagi memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan, Rabu lalu.
Majlis Solat Hajat Perdana berkenaan dihadiri sebahagian besar anggota Kabinet PN termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan ramai lagi.
Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata kerajaan akan terus menaik taraf sistem kesihatan awam dan menambah bilangan petugas barisan hadapan selari dengan tuntutan semasa.
Beliau berkata selepas tahun memerintah kerajaan PN banyak belajar mengenai kepentingan meletakkan sistem kesihatan ditahap optimum dan menyeimbangkan antara menjaga kesihatan, kehidupan dan nyawa rakyat, pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita mahu pastikan supaya tiada rakyat yang semakin ramai dijangkiti oleh Covid-19 dengan penularan digelar pandemik. Nyawa rakyat itu adalah salah satu perkara dijaga oleh kerajaan PN sebab itulah kita mengeluarkan peruntukan besar termasuklah RM3 bilion untuk tujuan pemerolehan vaksin Covid-19 dari awal kerajaan PN ditubuhkan sehingga sekarang.
“Kita lihat bukan hanya peruntukan besar diberikan tetapi jumlah petugas di lapangan terutama petugas barisan hadapan juga ditambah dan diberi keutamaan dalam usaha kerajaan menjaga nyawa rakyat.
“Kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin amat bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
“Saya lihat sebagai ketua kerajaan dan ketua negara dalam kabinet Malaysia dalam kerajaan PN, beliau bukan sahaja hanya sanggup menjadi peneraju dalam menangani isu penularan Covid-19 ini, malah juga menyertai setiap mesyuarat dipanggil ‘Whole-of-Government Approach’,” katanya.
Berikutan itu, Dr Adham berkata rakyat dapat lihat kejayaan kerajaan melandaikan lekuk penyebaran Covid-19 pada gelombang kedua dan ketiga sekarang.
“Perdana Menteri juga mengeluarkan sejumlah peruntukan besar untuk membeli peralatan dan insfrastruktur untuk kita tangani pandemik Covid-19.
“Malaysia sekarang dilandasan betul untuk melandaikan jangkitan Covid-19 dengan pendekatan berasaskan kesihatan awam. Rakyat hari ini boleh membandingkan kejayaan negara lain berada pada tahap sama dengan kita dalam usaha menangani Covid-19.
“Kita juga mendapat peluang untuk memberikan pelindungan kepada rakyat menerusi Program Imuniti Covid-19 Kebangsaan (PICK) ke arah mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya, kewujudkan imuniti kelompok penting bagi membolehkan masyarakat kembali kepada kehidupan lebih baik dari sekarang.