2 MAC: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran hampir 2.5 bilion atau satu daripada empat penduduk dunia dijangka berdepan masalah pendengaran menjelang tahun 2050.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata, melalui Laporan Pendengaran Dunia yang dikeluarkan badan antarabangsa itu, daripada jumlah terbabit, sekurang-kurangnya 700 juta penduduk dunia akan memerlukan bantuan untuk mendengar dan pendengaran, selain perkhidmatan pemulihan kecuali langkah pencegahan diambil mereka.
“Deria pendengaran kita amat bernilai. Kehilangan pendengaran yang tidak dirawat boleh memberi kesan buruk kepada kemampuan berkomunikasi individu, menuntut ilmu dan bekerja.
“Ini juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental individu dan kemampuan untuk mengekalkan hubungan mereka dengan orang lain,” katanya dalam kenyataan di laman web rasmi WHO.
Katanya, laporan itu dibuat berdasarkan bukti diberikan negara lain yang digabungkan ke dalam sistem sebagai usaha bersama untuk menuju kesihatan universal.
Laporan itu, katanya lagi, menguraikan skala masalah dan menawarkan solusi dalam bentuk intervensi.
Ujar Tedros, laporan dilancarkan sempena Hari Pendengaran Sedunia pada 3 Mac 2021 itu menggariskan keperluan untuk meningkatkan usaha segera bagi mencegah dan mengatasi gangguan pendengaran.
“Kurangnya maklumat tepat dan sikap pandangan sinis segelintir pihak terhadap penyakit telinga serta pendengaran, membatasi individu untuk mendapatkan rawatan.
“Ada kalangan penyedia perkhidmatan kesihatan juga seringkali tidak mempunyai pengetahuan mencukupi berhubung pencegahan, bagaimana mengenalpasti awal dan pengurusan gangguan pendengaran serta penyakit telinga, sekali gus mengehadkan kemampuan mereka memberikan perawatan diperlukan.
“Walaupun di negara mempunyai bahagian profesional pendengaran telinga dan pendengaran yang agak tinggi, penempatan pakar tidak sama. Ini menyebabkan berlaku cabaran untuk mendapatkan perawatan terbaik,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Tedros seterusnya berkata, hampir 60 peratus kehilangan pendengaran dalam kalangan kanak-kanak boleh dicegah melalui langkah berkesan, seperti imunisasi rubella dan meningitis, peningkatan penjagaan ibu dan neonatal, serta pemeriksaan terbaik.
Bagi dewasa pula, kawalan kebisingan, pendengaran selamat, pengawasan ubat ototoksik dan kebersihan telinga yang baik dapat membantu menjaga pendengaran, sekali gus mengurangkan potensi kehilangan pendengaran – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN