2 MAC: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, mengesahkan penahanan seorang lelaki bergelar Datuk Seri selepas mengugut dua mangsa termasuk seorang anggota polis berpangkat Inspektor, Khamis lalu.
Menurut Ayob, suspek Seri berusia 56 tahun itu ditahan bersama rakannya yang berusia 41 tahun kira-kira jam 8.30 malam, Khamis lalu, selepas mangsa membuat laporan polis.
“Kes ini bermula Isnin lalu apabila mangsa yang berusia 50-an didatangi dua suspek termasuk Datuk Seri berkenaan. Suspek dikatakan melakukan pemerasan dengan mengugut mangsa membayar sejumlah hutangnya sebelum mangsa membuat laporan polis.
“Berikutan itu, polis menahan kedua-dua suspek termasuk Datuk Seri di sekitar kawasan Masai kira-kira jam 8.30 malam, Khamis lalu.
“Ketika ditahan, Datuk Seri itu sekali lagi bertindak menggugut polis bertugas yang berpangkat Inspektor dengan kata-kata ‘kalau tuan tangkap saya, saya akan porak-perandakan semua balai polis dan hidup tuan’,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, siasatan polis juga mendapati suspek sebenarnya menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf.
Dalam pada itu Ayob berkata semakan rekod Datuk Seri juga mendapati dia mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berunsur jenayah kekerasan termasuk dua kali dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat dengan ditahan di Simpang Renggam dan Pulau Jerejak, sekitar 1980-an serta 1990-an.
“Datuk Seri berkenaan juga banyak menderma wang kepada pertubuhan bukan kerajaan bagi melindungi kegiatannya selain mengaburi pihak berkuasa.
“Kedua-dua suspek termasuk Datuk Seri disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.