2 MAC: Kompaun sehingga RM10,000 kepada orang ramai yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berkuat kuasa 11 Mac adalah jumlah maksimum yang ditetapkan kerajaan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan perundangan, tiada jumlah had minima ditetapkan namun hanya memberikan had maksima kepada setiap kesalahan yang dilakukan.
Menurut beliau, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah memberikan penjelasan bahawa tindakan kompaun melebihi RM1,000 akan dikenakan atas kesalahan yang dilakukan secara berulang kali.
“Had maksima bukan bermaksud mesti kena pada jumlah maksima tersebut. Tidak semestinya setiap kompaun ia boleh dirayu mungkin boleh jadi RM100 ataupun RM50 bergantung kepada pegawai kesihatan di peringkat daerah kerana kuasa rayuan ada pada mereka.
“Had maksima RM10,000 pihak polis akan kenakan kepada mereka yang telah berulang kali melakukan kesalahan atau melakukan kesalahan yang dianggap serius seperti mengunjungi kelab malam yang sememangnya aktiviti yang dilarang untuk dibuka tetapi masih dibuka kerana ada pelanggan yang berdegil.
“Atau kompaun tinggi kepada mereka yang memakai gelang (tag kuarantin COVID-19) yang sengaja keluar rumah yang mampu memberi risiko kepada orang ramai. Jadi, ini antara kes yang pihak polis boleh ambil tindakan untuk mengenakan kompoun yang tinggi,” katanya.
Justeru itu, Ismail Sabri mengharapkan orang ramai tidak membuat andaian pihak polis akan mengambil kesempatan mengenakan kompaun maksimum RM10,000 kepada mereka yang melanggar Standard Operasi Prosedur (SOP).
“Ketua polis ada mengatakan setakat tak pakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal takkan nak dikenakan kompoun RM10,000. Jadi jangan apabila ada undang-undang, takut akan dikenakan terhadap semua orang.
“Pihak polis tahu untuk menggunakan budi bicara dalam mengambil tindakan. Jangan ragu dan sangsi dan mula menganggap polis kejam terhadap rakyat walhal polis yang menjaga keselamatan kita semua. Saya percaya tidak akan ada penganiayaan kepada orang ramai,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH