2 MAC : Syarikat pengeluar kertas dan paperboard terbesar Asia, Nine Dragons Paper (Holdings) Limited memutuskan untuk menambah pelaburan sebanyak RM5.4 bilion di negara ini.
Komitmen itu dipersetujui ketika pertemuan Pengerusi Nine Dragons Paper (Holdings) Limited, Cheung Yan dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
Menerusi kenyataan di Facebook miliknya, Muhyiddin berkata syarikat ini tersenarai di papan utama Bursa Hong Kong dan menduduki senarai China Fortune 500.
Menurut beliau, sehingga Disember 2020, sejumlah 572 projek perkilangan dari China bernilai RM78.61 bilion telah diluluskan oleh pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), termasuk Kumpulan Nine Dragons Paper (Holdings) Limited.
“Pelaburan kumpulan ini di Malaysia, merangkumi dua fasiliti perkilangan iaitu ND Paper (Malaysia) Sdn Bhd di Bentong, Pahang, yang melibatkan pengambilalihan kilang kertas dan pulpa dengan pelaburan keseluruhan RM1.2 bilion dan ND Paper Malaysia (Selangor) Sdn Bhd di Banting, dengan pelaburan RM4.2 bilion.
“Kedua-dua projek ini akan menjana 2,180 peluang pekerjaan dengan hampir 90 peratus adalah rakyat tempatan. Projek di Banting dijadual beroperasi pada tahun 2022,” katanya.
Turut hadir sama pada pertemuan itu adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Nine Dragons Paper, Zhang Cheng Fei; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berbesar hati dengan pelaburan tambahan oleh Nine Dragons Paper (Holdings) Limited, sekali gus membuktikan keupayaan kerajaan dalam mengurus ekonomi dan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran dan kestabilan negara ketika dunia masih berdepan pandemik COVID-19.
“Saya tegaskan bahawa Kerajaan Malaysia adalah amat pro-business dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu ke dalam negara, dan bersedia untuk menawarkan pelbagai insentif bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.
“Penambahan pelaburan oleh Kumpulan Nine Dragons Paper ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka.
“Semoga ekonomi negara terus pulih dan bertambah kukuh,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH