2 MAC : Kementerian Pertahanan mengesahkan sebanyak 1,465 kenderaan berat dan 319 buah bot merupakan antara yang dirampas sepanjang pelaksanaan Ops Benteng di sempadan negara sejak 1 Mei tahun lepas sehingga 26 Februari lalu yang bernilai RM3.06 juta.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 12,087 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) serta 922 orang tekong turut ditangkap dalam tempoh yang sama.
“Nilai rampasan dan jumlah tangkapan ini merupakan satu kejayaan dalam usaha membendung penularan Covid-19 melibatkan PATI.
“Ops Benteng juga sekali gus memperkukuhkan keselamatan di sempadan negara selain membanteras jenayah rentas sempadan,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM), hari ini.
Terdahulu, Ops Benteng melibatkan operasi bersepadu antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain yang diperkenalkan selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menentang penularan wabak Covid-19 dan kemasukan PATI dengan berkesan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, walaupun banyak kekangan yang dihadapi akibat penularan wabak itu, namun aspek mempertahankan kedaulatan negara sentiasa menjadi keutamaan kementerian itu dan ATM tanpa kompromi.
Menurut beliau, sepanjang usaha mengekang penularan Covid-19, penglibatan ATM juga tidak terhad kepada aspek keselamatan, namun turut meliputi bantuan logistik dan aset kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“ATM mewujudkan Hospital Medan untuk merawat pesakit Covid-19 selain khidmat penerbangan membawa kakitangan perubatan ke negeri-negeri terjejas serta penghantaran sampel saringan khususnya di Sabah dan Sarawak ke makmal di Semenanjung.
“Pihak ATM turut memberikan bantuan logistik udara bagi membawa Pegawai Perubatan KKM serta sampel saringan COVID-19 ke tempat-tempat tertentu bagi memastikan setiap bantuan dan bekalan sampai kepada setiap rakyat.
“Kesiapsiagaan aset dalam setiap pengoperasian turut diambil kira bagi menjamin keselamatan dan bantuan dapat disalurkan dengan baik,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH