2 MAC: Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-354 hari ini bersetuju meluluskan pendaftaran secara bersyarat kepada tiga jenis vaksin Covid-19 iaitu AstraZeneca (dari Belanda), Sinovac (China) dan permohonan sumber kedua, produk comirnaty Pfizer.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan syarikat pemegang pendaftaran untuk mengemukakan analisis data-data tambahan dan terkini secara ‘rolling submission’ untuk dinilai oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Dr Noor Hisham berkata tindakan itu penting bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan vaksin sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif.
“Pada masa ini, NPRA juga masih menilai 2 lagi produk vaksin COVID-19 iaitu Gam-COVID-Vac atau Sputnik V (keluaran Gamaleya National Research Centre for Epidemiology and Microbiology, Russia) dan CoronaVac Suspension for Injection – Sinovac (pengilangan fill and finish oleh Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh PBKD.
“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Kebangsaan, tidak lama lagi,” ujarnya.