2 MAC : Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan pada Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang kini akan ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 5 Mac depan.
Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak bagaimanapun terus kekal di bawah PKPB manakala Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dikuat kuasa di Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan mulai tarikh yang sama.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya negeri Perlis yang dikekalkan status sebagai PKPP dan kesemua perintah itu akan berkuat kuasa pada 5 Mac sehingga 18 Mac kecuali Sarawak yang telah dikuat kuasa bermula hari ini.
“Selain itu, sidang khas bersetuju untuk membenarkan pergerakan merentas daerah di seluruh negeri kecuali Sabah, namun rentas negeri masih tidak dibenarkan.
“Jadi apabila PKPB, PKPP berkuatkuasa pada 5 Mac, maka pergerakan rentas daerah di dalam negeri dibenarkan, rentas negeri sahaja yang kita masih lagi tidak benarkan,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH