3 MAC: Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat penjadualan semula semua peperiksaan utama termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini berikutan perubahan struktur sesi persekolahan akibat penularan COVID-19.
Bagaimanapun, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, perkara berkenaan masih dalam peringkat kajian bagi melihat kaedah terbaik yang akan dilaksanakan nanti.
Mohd Radzi berkata, KPM akan mengumumkan keputusan penjadualan semula peperiksaan dengan mengambil kira kajian dilakukan oleh Lembaga Peperiksaan (LPM).
“Apa yang pihak LPM buat sekarang adalah merangka apakah kaedah terbaik menerusi pelaksanaan peperiksaan SPM kali ini.
“Jadi (melalui peperiksaan ini) kita akan tahu apakah prosedur operasi standard (SOP) atau kaedah terbaik (untuk kita adakan peperiksaan akan datang).
“Ini adalah penanda aras bagi membolehkan kita melihat bagaimana pelaksanaan peperiksaan berikutnya dan berkaitan tarikh peperiksaan itu. Pihak LPM sedang lihat dan akan diumumkan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, Selangor bagi meninjau perjalanan peperiksaan SPM di sekolah berkenaan hari ini.
Mohd Radzi juga turut melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Bandar Puchong 1 bagi melihat operasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka melibatkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua yang bermula 1 Mac lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Radzi menjelaskan, secara keseluruhnya KPM berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) khususnya penjarakan sosial sepanjang peperiksaan SPM berlangsung setakat ini.
“Peperiksaan SPM bermula pada 22 Feb lalu dan akan berakhir 25 Mac ini. Hari ini merupakan hari terakhir untuk mata pelajaran teras dan akan disusuli dengan mata pelajaran elektif,” katanya.
Ditanya mengenai isu dakwaan bahawa kebocoran soalan Kertas 2 subjek Sejarah, Mohd Radzi berkata, LPM akan memantau secara menyeluruh berhubung isu berkenaan.
“Seperti mana pendekatan kami, biarlah pelajar fokus dengan peperiksaan masing-masing. Apa sahaja isu timbul, LPM akan pantau secara menyeluruh.
“Jadi, apa yang penting (biarlah) anak-anak dapat menduduki peperiksaan sehingga selesai. LPM sentiasa memantau apa sahaja perkara timbul dan perlu diberi perhatian,” katanya.