3 MAC – Pemimpin Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi pada Isnin dikenakan dua lagi tuduhan jenayah ketika muncul di khalayak ramai buat kali pertama sejak rampasan kuasa tentera sebulan lalu, lapor Agensi Berita Sputnik memetik laman web Myanmar Now.
Bekas kaunselor negara itu dituduh memiliki atau menggunakan walkie-talkie yang tidak diisytiharkan dan menghasut orang ramai mengadakan kekacauan.
Beliau sebelum ini dituduh mengimport walkie-talkie secara tidak sah dan melanggar undang-undang bencana alam kerana melanggar sekatan COVID-19 dengan mengadakan kempen menjelang pilihan raya November.
Pada 1 Februari, tentera melakukan rampasan kuasa selepas menuduh Liga Demokratik Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi menipu pada pilihan raya umum yang menyaksikan parti itu memperoleh kemenangan besar.
Pemimpin berusia 75 tahun itu muncul di mahkamah melalui pautan video. Menurut peguamnya, Min Min Soe, anak guamnya berada dalam keadaan sihat.
Presiden Win Myint yang turut dituduh menghasut namun kemunculannya di mahkamah tidak disiarkan secara langsung.
Perbicaraan ditangguhkan sehingga 15 Mac depan.
Tunjuk perasaan terhadap pemerintahan junta diteruskan pada Isnin, sehari selepas sekurang-kurangnya 18 orang maut akibat kekerasan tentera.