4 MAC: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyatakan pendirian mengenai keputusan UMNO tidak mahu bekerjasama dengan parti berkenaan selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Bersatu, petang ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata pendirian berkenaan juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan datang bersama pemimpin parti komponen lain termasuk PAS, Gerakan, STAR dan SAPP, tidak lama lagi.
Beliau berkata, isu berkenaan juga sudah dibincangan dalam Mesyuarat Biro Politik Bersatu yang dipengerusikan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Katanya, perkara itu dilakukan selepas Muhyiddin menerima sepucuk surat daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bertarikh 26 Februari lalu, yang memaklumkan mengenai keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Janda Baik, Bentong, Pahang, pada 19 Februari lalu.
“Dalam hal ini, Biro Politik Bersatu mengambil maklum mengenai dua keputusan dibuat Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO iaitu pertama tiada kerjasama dengan BERSATU dalam Pilihan Raya Umum ke-19 dan kedua kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
“Berikutan itu, Biro Politik mengambil ketetapan bahawa pendirian Bersatu akan diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, pada petang ini, “ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan sudah menghantar surat kepada Muhyiddin untuk memaklumkan mengenai keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, pada 19 Februari lalu.
Dalam surat bertarikh 26 Februari yang dilihat wartawan PNBBC, Ahmad Zahid menegaskan bahawa Mesyuarat MKT yang berlangsung di Institut Latihan Memperkasakan Ummah di Janda Baik, Bentong, Pahang itu memutuskan dua perkara penting.
“Pertama, Mesyuarat MKT UMNO berkenaan memutuskan bahawa tiada kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Kedua, UMNO berpendapat, kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen,” katanya Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam sepucuk surat yang dialamat kepada Pejabat Pengerusi PN di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, baru-baru ini.
Pada 6 Januari lalu, MKT UMNO memutuskan usul memutuskan hubungan UMNO dengan BERSATU dan mempertahankan kerjasama dengan PAS dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akhir bulan ini.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dipetik sebagai berkata, keputusan itu membolehkan usul berkenaan diputuskan di peringkat tertinggi parti sebagaimana peruntukan perlembagaan parti.
Katanya, usul mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) mengambil kira sentimen permuafakatan yang sudah dibina ketika 22 bulan bersama sebagai pembangkang.
Dalam pada itu UMNO menggesa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, tertakluk kepada situasi COVID-19.