4 MAC : Individu yang pulang dari Sabah, Sarawak dan Labuan tidak perlu menjalani ujian saringan COVID-19 dan tidak akan menjalani proses kuarantin selama 14 hari di Semenanjung.
Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi individu yang akan akan memasuki dua negeri dan wilayah persekutuan itu perlulah menjalani ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum mereka berlepas.
“Semua individu yang tiba di Sarawak dan Labuan juga perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sejurus tiba di Sarawak dan Labuan manakala individu yang tiba di Sabah tidak perlu dikuarantin.
“Bagi rakyat Sarawak, kos swab test (ujian saringan COVID-19) dan kuarantin akan ditanggung oleh kerajaan negeri manakala bukan warga Sarawak, kesemua kos adalah tanggungjawab sendiri,” katanya menerusi sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, bagi individu dari Sabah ke Sarawak dan Labuan perlu menjalani ujian saringan tersebut dalam tempoh tiga hari sebelum berlepas dan hanya individu yang berkeputusan negatif dan tidak bergejala dibenarkan ke kawasan tersebut.
“Manakala pergerakan dari Sarawak ke Sabah dan Labuan juga perlu melakukan swab test dalam tempoh tiga hari sebelum berlepas dan di atas kehendak kerajaan Sarawak, larangan merentas daerah di Sarawak dan Sabah masih lagi tidak dibenarkan.
“Bagi individu dari Labuan ke Sarawak juga mereka perlu menjalani swab test tiga hari sebelum perjalanan dan perlu jalani kuarantin 14 hari sejurus tiba di Sarawak manakala dari Labuan, mereka juga perlu jalani swab test dan hanya individu yang negatif dan tidak bergejala dibenarkan masuk di samping tidak perlu dikuarantin,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH