5 MAC: Tiga rakyat Malaysia adalah antara 18 kes import baharu COVID-19 yang dilaporkan di Singapura, semalam, seperti dilaporakan Kementerian Kesihatan republik itu.
Menerusi data penuh dikeluarkan lewat malam tadi, kementerian itu menyatakan kesemua mereka tiba dari negara asal dan asimptomatik.
“Kes import lain ialah dari Bangladesh, Ghana, India, Indonesia, Filipina dan Amerika Syarikat,” katanya kenyataan itu.
Setakat tengah hari semalam, Singapura merekodkan 19 kes baharu, iaitu satu kes berkaitan komuniti, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 59,998 kes.
Kementerian itu sehingga kini, mengklasifikasikan 3,160 daripada kes yang dilaporkan adalah membabitkan kes import, 2,327 kes berkaitan komuniti, manakala 54,511 melibatkan penghuni asrama.
Pada masa ini, terdapat dua kluster COVID-19 di Singapura.