94 kesalahan gagal sedia peralatan rekod pelanggan
5 MAC: Seramai 246 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.
Menteri Kanan Keselamata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 234 individu daripada jumlah itu dikenakan kompaun manakala 12 lagi direman.
“Sebanyak 94 kesalahan yang direkodkan adalah kerana gagal menyediakan peralatan merekod pelanggan, tidak memakai pelitup muka (55), rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (37).
“Selain itu, kesalahan lain yang dikesan adalah tiada penjarakan fizikal (29), aktiviti pusat hiburan (16), premis beroperasi melebihi masa dan tanpa kebenaran (13) serta lain-lain (2),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua kenderaan darat menerusi Op Benteng semalam.
Katanya, dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 106 bot dan kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.
“Selain itu, seramai enam PATI diusir menerusi tiga aktiviti pengusiran,” katanya. Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN