5 MAC: Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) tidak pernah membuat keputusan untuk merayu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.
Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran mengakui bahawa Mesyuarat Majlis Tertinggi BN pada Rabu lalu ada membincangkan mengenai titah Al-Sultan Abdullah, sebelum ini namun mereka membuat keputusan tidak membuat sebarang andaian atau mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Saya akui kita memang ada bincang mengenai titah Yang di-Petuan Agong dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BN, kelmarin, namun BN membuat keputusan untuk tidak membuat sebarang andaian atau kenyataan berhubung perkara itu.
“Dalam mesyuarat berkenaan kita juga bersetuju untuk meneruskan kerjasama dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)
“Sebab itulah saya terkejut apabila membaca kenyataan Pengerusi BN kepada media kononnya BN membuat ketetapan untuk merayu Yang di-Pertua Agong supaya sidang parlimen diadakan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan BN merayu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Seri Paduka Baginda boleh memperkenankan perkara itu dengan menggunakan kuasa di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Mengikut seksyen berkenaan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ahmad Zahid berkata, sidang Parlimen itu dapat membentangkan perkara termasuk keberkesanan langkah-langkah membendung penularan wabak COVID-19, demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021, demi memastikan kelangsungan hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40), serta keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan, semalam. –Oleh HAIKA KHAZI