6 MAC: Jumlah kes jangkitan baharu COVID-19 di negara hari ini kembali mencatatkan penurunan apabila sebanyak 1,680 kes dilaporkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka terbaharu direkodkan itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 311,777 dengan jumlah kes aktif iaitu 21,159 kes.
“Bagi kes sembuh, sebanyak 2,548 kes dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di negara ini sebanyak 289,452 kes atau 92.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Sehingga kini terdapat 172 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 84 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat tujuh kes kematian membabitkan warganegara menjadikan jumlah kes kematian akibat COVID-19 sebanyak 1,166 kes atau 0.37 peratus.
Katanya, Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 826 kes dengan 737 daripada jumlah itu adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
Ini diikuti Sarawak sebanyak 221 kes dan Johor sebanyak 139 kes (8.3 peratus).
“Sebanyak 54 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (17), Kluster Tembok Tapah (15), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (13), Kluster Tembok Taiping (4), Tembok Mempaga (3) serta masing-masing satu kes bagi Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok dan Kluster Tembok Sungai Udang.
“Kes kematian hari ini membabitkan tiga kes di Selangor, Sarawak dan Sabah sebanyak satu kes. Semuanya membabitkan warga negara,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN