6 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan dan tohmahan dibuat gabungan beberapa parti politik kononnya suruhanjaya itu dijadikan sebagai ‘senjata politik’ untuk agenda politik pihak tertentu.
SPRM menegaskan suruhanjaya itu adalah badan bebas dan sentiasa memastikan tindakannya berlandaskan undang-undang tanpa membabitkan kecenderungan politik.
“Tohmahan tersebut dianggap sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan imej SPRM.
“Dakwaan ini juga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap SPRM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak menggunakan badan kerajaan sebagai ‘senjata politik’ dalam usaha menambah sokongan.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata peringatan itu susulan beberapa tindakan yang diambil badan kerajaan, termasuk SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta polis terhadap Ahli Parlimen pembangkang, pegawai, selain ahli keluarga mereka.
Menurut PH, persaingan politik di negara ini wajib berlaku dalam suasana yang sihat dengan mempratikkan demokrasi berteraskan perlembagaan persekutuan.