6 MAC: Thailand dan Vietnam akan membawa pulang rakyatnya di Myanmar susulan keganasan yang semakin memuncak di negara itu.
Seramai 38 orang didakwa terbunuh ketika pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.
Menurut laman Facebook rasmi Kedutaan Thailand di Yangon seperti dilaporkan Bernama, kerajaannya sudah mengatur dua penerbangan khas pada 12 dan 16 Mac ini bagi tujuan itu.
Vietnam pula sudah menyediakan dua penerbangan sewa khas pada 11 Mac ini untuk membawa pulang 390 rakyatnya.
Memandangkan situasi di Myanmar semakin buruk sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lalu, negara lain kini turut mengatur penerbangan untuk membawa pulang rakyat masing-masing.
Kelmarin, Singapura menasihatkan rakyatnya supaya meninggalkan negara itu.
Rampasan kuasa menyaksikan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint dan pemimpin Liga Demokratik Kebangsaan Nasional (NLD) ditahan.
Junta juga mengisytiharkan perintah darurat selama setahun dan berikrar mengenakan tindakan terhadap tuduhan penipuan undi pada pilihan raya umum 8 November yang dimenangi parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).