7 MAC: Kes baharu COVID-19 di negara ini direkodkan di bawah 2,000 kes untuk dua hari berturut-turut dengan 1,683 kes dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 1,673 merupakan penularan tempatan membabitkan 1,132 warganegara dan 541 warga asing manakala 10 lagi kes import.
Menurutnya, dukacita dimaklumkan terdapat tiga lagi kematian baharu akibat wabak itu menjadikan 1,169 kematian direkodkan setakat ini.
“Tiga kes kematian dicatatkan berlaku di Selangor dan Pahang.
“Semua kematian membabitkan warganegara berusia 78 hingga 85 tahun dengan kesemua mereka menghidap penyakit darah tinggi ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, negeri Selangor masih mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 746 kes.
“Sabah pula mencatatkan sebanyak 99 kes, Johor (158), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (125), Negeri Sembilan (48), Pulau Pinang (172), Perak (48), Sarawak (201), Kedah (15), Melaka (3), Kelantan (12), Pahang (12), Terengganu (10), Labuan (8), Putrajaya (2) dan Perlis (24),” katanya.
Berdasarkan statistik berkenaan, Perlis mencatatkan lonjakan mendadak dengan 24 kes, berbanding semalam tanpa kes.
Tambah beliau, dengan pertambahan 2,506 kes sembuh hari ini, jumlah kumulatifnya kini menjadikan 291,958 kes pulih daripada keseluruhan 313,460 jangkitan COVID-19 .
“KKM juga melaporkan bahawa terdapat 20,333 kes aktif termasuk 81 daripada 174 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.