7 MAC: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang menyiapkan Kertas Kabinet berkaitan undang-undang antibuli siber, kata menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, walaupun Malaysia mempunyai undang-undang lain berkaitan keselamatan siber, namun negara belum mempunyai undang-undang khusus bagi menangani isu buli siber.
Berbanding negara jiran, beliau berkata, negara jiran seperti Singapura dan Filipina telahpun menguatkuasakan undang-undang antibuli siber.
“Kita seharusnya bersiap sedia (dengan undang-undang) kerana keadaan boleh menjadi lebih teruk,” katanya pada sidang media khas sempena Setahun Malaysia Prihatin dan setahun pentadbiran Kerajaan Perikatan di Putrajaya hari ini.
Tahun lepas, dilaporkan seorang remaja perempuan dari Pulau Pinang bertindak membunuh diri setelah teman lelakinya mengancam untuk memuat naik gambar peribadinya ke platform media sosial.
Saifuddin berkata, kaji selidik yang dilakukan Universiti Multimedia (MMU) menunjukkan kira-kira 85 peratus responden menyatakan bahawa perlunya satu undang-undang khusus bagi membendung kes-kes antibuli siber.
“Malah, definisi kesalahan jenayah buli siber masih belum ditetapkan, jadi kita harus menyiapkan satu draf,” katanya menambahkan terdapat sebilangan besar orang tidak tahu di mana untuk melaporkan kejadian buli siber.
Mengenai pindaan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244), Saifuddin berkata proses berkenaan telah dimulakan untuk membolehkan akta itu selari dengan kehendak semasa.
“Pada dasarnya, ini (pindaan) bukan tentang pengendalian, ini lebih kepada memudahkan,” katanya sambil menambah bahawa KKMM juga sedang mempertimbangkan untuk menggubal Akta Perbadanan Muzik untuk memudah cara dan melindungi industri muzik tanah air.
Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata pindaan Akta 244 akan melibatkan beberapa perkara utama iaitu kedudukan pengguna media sosial yang mengeluarkan bahan yang dikongsikan dalam platform tersebut, penambahbaikan peraturan sedia ada dan memberikan definisi baharu terhadap definisi sedia ada dalam Akta 244.
Katanya, akta itu juga perlu dipinda kerana ketika ia diluluskan di Parlimen pada 1981, teknologi pada pada masa itu tiada langsung media sosial seperti Tik Tok dan YouTube.
Mengenai rancangan untuk mengukuhkan industri kreatif negara, Saifuddin berkata KKMM bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi mendapatkan data penggiat seni yang khusus, sama ada dalam kalangan pengarah filem, komposer, pemuzik atau penulis.
Bagi tujuan tersebut, DOSM sedang melakukan bancian data penggiat seni dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Finas, Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dan Radio Televisyen Malaysia.
Sektor ekonomi kreatif menyumbangkan RM29.4 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019 dan telah memberi peluang pekerjaan kepada 859,900 individu.
Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) berjumlah RM89.2 juta yang dilancarkan pada 5 Februari lepas juga akan membantu penggiat seni dalam penghasilan karya dan merancakkan kembali industri kreatif yang terjejas akibat COVID-19, katanya.
Saifuddin berkata, ia bakal memanfaatkan lebih 9,000 penggiat seni di samping mewujudkan lebih 40,000 peluang pekerjaan.
Beliau turut berharap industri kreatif akan menjadi salah satu daripada sektor pertumbuhan penting dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) 2021-2025.