7 MAC Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selamat tiba di Jeddah pada Sabtu untuk memulakan lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi.
Ketibaan beliau dan isteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz pada 5.31 petang (10.31 malam di Malaysia) disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Abd Razak Abdul Wahab dan isteri Datin Nor Asimah Petah, serta Konsulat Besar Malaysia di Jeddah, Alauddin Mohd Nor dan isteri Najwa Hasbullah.
Lawatan ke negara ini atas jemputan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud.
Beliau dan isteri akan menunaikan umrah di Makkah dan kemudian melakukan ziarah di Madinah terlebih dahulu, sebelum memulakan program rasmi sempena lawatan itu.
Perdana Menteri seterusnya akan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke UAE sehingga 11 Mac.