7 MAC: Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengesahkan Muktamar PAS kali ke-67 akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) berkata, penangguhan muktamar termasuk pemilihan itu diputuskan dalam mesyuarat pimpinan itu bagi menumpukan soal pilihan raya.
“PAS memutuskan muktamar akan diadakan selepas PRU-15, tak kiralah bila. Setakat ini, kita pun tak tahu bila PRU.
“Jangkaan PRU bila darurat ditamatkan, mengambil kira jangkaan muktamar selepas PRU-15,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu hari ini.
Takiyuddin menjelaskan, ketetapan yang dibuat parti setakat ini adalah menangguhkan muktamar sehingga PRU-15 selesai.
“Muktamar tahun lepas diadakan pada September dengan Kelantan sebagai tuan rumah.
“Muktamar diadakan dalam suasana norma baru akibat pandemik COVID-19 dengan mengehadkan kehadiran pemerhati, perwakilan dan pimpinan Pas seluruh negara,” katanya.