7 MAC: Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, menegaskan penyertaan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tidak memberi sebarang kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri.
Saarani yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, pihaknya bersama barisan anggota exco kerajaan negeri yang terdiri daripada Umno, Bersatu dan PAS ketika ini, hanya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan sesiapa sahaja berhak untuk memilih parti yang mereka mahukan. Jadi, memang tidak ada sebarang masalah (pentadbiran kerajaan negeri).
“Apa-apa pun, kita tunggu sahaja pilihan raya umum, kita ‘berperang’ (antara parti politik) waktu itu nanti,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kedua-dua bekas ADUN DAP yang menyertai Bersatu, baru-baru ini.
Saarani berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai program gotong-royong di Rumah Pangsa Jalan Pasir Putih yang turut dihadiri Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh Rumaizi Baharin.
Kedua-dua ADUN itu keluar DAP pada Mac tahun lalu kerana menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), dengan Sivasubramaniam menyertai Gerakan pada Jun 2020 manakala Yong pula memilih menjadi ADUN bebas.
DUN Perak mempunyai 59 kerusi terdiri daripada 25 ADUN Barisan Nasional (BN) yang semuanya daripada UMNO manakala Bersatu (tujuh), PAS (tiga), DAP (16), Amanah (lima) dan PKR (tiga).