7 MAC: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, 96, menjadi individu tertua setakat ini yang menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Ahli Parlimen Langkawi berkenaan menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Hospital Sultanah Maliha di Langkawi, Kedah.
“Terkini Tun Dr. Mahathir telahpun menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Sultanah Maliha Langkawi pada pagi ini.
“Semoga Tun Dr. Mahathir diberikan pelindungan dan kesihatan yang baik dari jangkitan COVID-19. InshaAllah. Sila berdaftar dalam talian di Mysejahtera untuk mendapatkan temujanji suntikan COVID-19 dengan secepat mungkin.
“Lindung diri, lindung semua,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebooknya di sini sebentar tadi.
Terdahulu Dr Noor Hisham mengesahkansehingga kini seramai 127,608 telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di seluruh negara.
Memperincikan pecahan jumlah penerima vaksin dos pertama tertinggi mengikut negeri, Sarawak mencatatkan 18,034 penerima, diikuti Pahang (13,830), Selangor (11,982) dan Kuala Lumpur seramai 11,266.