8 MAC: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan mengumumkan mengenai status permohonan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) agar pengamal media menjadi antara golongan penerima terawal mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dalam masa terdekat.
Pengerusi Bersama Pengerusi Bersama JKJAV, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya sudah menubuhkan jawatankuasa kecil untuk meneliti permohonan NUJM supaya pengamal media diberikan keutamaan untuk menerima vaksin COVID-19 lebih awal.
“Buat masa ini JKJAV belum menyenaraikan media sebagai penerima fasa pertama pelalian di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kerana perkara berkenaan masih di peringkat penelitian
“Namun, saya yakin keputusan muktamad mengenai permohonan memasukan pengamal media sebagai golongan yang patut diberikan keutamaan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 akan diputuskan dalam mesyuarat JKJAV tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media khas mingguan PICK menerusi aplikasi Zoom di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan NUJM merayu kerajaan mempertimbangkan supaya pengamal media di Malaysia dimasukkan sebagai golongan terawal menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas harian tanpa rasa takut dan bimbang.
Presidennya, Farah Marshitah Abdul Patah ketika dibungi PN BBC berkata, NUJM sangat mengalu-alukan pertimbangan untuk petugas media dimasukkan sebagai penerima terawal vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan Perdana Menteri, pada 24 Februari lalu.
Farah berkata, tindakan itu perlu kerana pengamal media adalah golongan yang sangat terdedah kepada COVID-19 disebabkan cara kerja yang memerlukan mereka sentiasa berada di lapangan.
Dalam perkembangan lain, Khairy mengesahkan JKJAV menerima kira-kira 200 aduan bagi individu dan petugas barisan hadapan mengenai isu potong barisan bagi mendapatkan suntikan pelalian berkenaan dari seluruh negara.
Bagaimanapun, Khairy berkata antara aduan diterima adalah ada premis kesihatan yang menyenaraikan individu lain yang bukan petugas barisan hadapan yang berada dalam senarai penerima fasa pertama PICK untuk menerima suntikan pelalian berkenaan lebih awal.
Berikutan itu, JKJAV mengarahkan semua pusat pemberian vaksin (PPV) untuk mengagihkan lebihan dos vaksin yang tidak digunakan ke kawasan lain yang masih belum selesai menjalankan pelalian terhadap petugas barisan hadapan dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
“Ini adalah contoh bagaimana semua aduan pemberi maklumat (whistle blower) diambil tindakan. Saya sudah mengarahkan supaya dos berkenaan diberikan ke kawasan yang masih belum selesai lagi pemberian vaksin COVID-19,” katanya.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.