8 MAC: Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail menafikan dakwaan tawaran rasuah RM10 juta oleh dua individu bagi tujuan memujuknya melompat parti.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata Natrah mengesahkan tiada tawaran itu untuk menyogoknya supaya memberi sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Dalam pertemuan tersebut, Natrah mengesahkan bahawa tiada tawaran rasuah berjumlah RM10 juta sebagaimana yang didakwa menerusi kenyataan di akaun Facebook dikenali sebagai Ops Johor,” jelas SPRM menerusi satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Natrah memaklumkan beliau dijanjikan manfaat jika bersetuju untuk berpaling tadah daripada PKR.
Namun, beliau secara tegas menolak untuk memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin dan menyatakan sudah memaklumkan perkara itu kepada pucuk pimpinan PKR.
Bagaimanapun, SPRM berkata pihaknya akan terus menjalankan siasatan terhadap isu itu dengan beberapa saksi kes termasuk keterangan Natrah akan diambil dalam masa terdekat.
“Sehubungan itu, SPRM turut menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes ini,” kata kenyataan itu lagi.
Pada 28 Feb lalu, dua wakil rakyat pembangkang, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon membuat akuan berkanun (SD) menyokong kerajaan PN.