9 MAC : Lapan buah masjid ditutup sementara oleh pihak berkuasa Arab Saudi selepas mendapati 10 jemaah disahkan positif COVID-19.
Ia membabitkan enam masjid di Riyadh dan masing-masing sebuah di Madinah serta Tabuk.
Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan berkata, sebanyak 236 masjid telah ditutup dalam tempoh 29 hari lalu.
Menurut kementerian itu lagi, enam masjid ditutup sebelum ini telah dibuka semula di Makkah, Qassim dan Wilayah Timur selepas pelaksanaan proses sanitasi serta penyelenggaraan.
Sebanyak 224 masjid juga sudah dibuka semula selepas menjalani proses sanitasi dan langkah diambil bagi melindungi keselamatan orang awam.
Justeru jangkitan terbaharu itu, Kementerian menggesa kakitangan masjid dan jemaah supaya mematuhi semua langkah berjaga-jaga ditetapkan, selain melaporkan sebarang pelanggaran atau masalah pematuhan protokol kesihatan.