9 MAC : Usaha menangani insiden keganasan rumah tangga perlu dijalankan dengan mempergiatkan lagi kempen kesedaran berkaitan akta-akta yang khusus dengan jenayah tersebut.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad akta tersebut juga perlu dipergiatkan menerusi media sosial kerana dipercayai sebenarnya terdapat banyak kes keganasan rumah tangga.
Namun, menurut beliau perkara tersebut tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa berikutan mereka takut dengan tindakan tersebut.
“Di Malaysia, keganasan rumah tangga merupakan satu jenayah di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
“Justeru, jangan sesekali kita berasa takut untuk membuat laporan sekiranya kita adalah mangsa keganasan rumah tangga,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, misteri kehilangan seorang wanita berumur 38 tahun yang melarikan diri dari rumahnya di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor baru-baru ini akhirnya terjawab dengan penemuan mayat mangsa di dalam tong air biru di kawasan ladang serai di Bandar Penawar di, Johor Bahru, semalam.
Lebih menyedihkan, ibu kepada dua cahaya mata berusia tiga dan empat tahun itu dipercayai ditembak mati oleh suaminya sendiri yang berumur 43 tahun menggunakan senapang angin ketika mangsa sedang tidur.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pembunuhan tersebut dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di rumah mereka.
Menurut beliau, suami wanita terbabit yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dan rakannya berumur 32 tahun telah ditahan, Selasa lalu susulan daripada laporan kehilangan wanita berkenaan yang dibuat oleh jirannya.
Dalam pada itu, Noraini memberitahu, Wanita UMNO kesal dan amat sedih dengan kejadian dua kes jenayah terhadap wanita yang berlaku dalam masa seminggu dan salah satunya adalah dipercayai oleh suami sendiri.
“Kita harus sedar, keganasan yang tragis seperti memukul, tikam, jerut isteri contohnya bermula daripada perbuatan kecil atau yang berlaku sekali dua, tetapi kalau sudah berlarutan bagaimana?
“Usaha menangani insiden keganasan rumah tangga perlu dijalankan dengan mempergiatkan kempen kesedaran berkaitan akta berkaitan termasuk di media sosial,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH