9 MAC: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memperluaskan kemudahan bekerja dari rumah (BDR) untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh demi penjagaan ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak yang baru lahir.
Presidennya, Adnan Mat berkata, langkah itu merupakan satu keputusan tepat yang dapat meningkatkan produktiviti negara terutamanya penglibatan golongan wanita dalam pasaran buruh.
Menurut beliau, berdasarkan statistik semasa, jumlah penyertaan tenaga buruh melibatkan golongan wanita hanya mencatatkan sekitar 55.3 peratus berbanding 80.7 peratus golongan lelaki yang merupakan satu jurang yang sangat besar.
“Umum mengetahui bahawa golongan wanita ketika ini memiliki bakat dan kemahiran yang luar biasa dan setara dengan lelaki. Bagaimanapun, disebabkan kekangan tertentu wanita yang berbakat ini terpaksa meninggalkan pasaran pekerjaan untuk memberi fokus kepada keluarga.
“Ketika ini juga banyak isi rumah yang mencatatkan hanya golongan lelaki saja yang keluar bekerja, manakala wanita menjadi suri rumah sepenuh masa kerana kekangan-kekangan yang mungkin berpunca daripada keperluan menjaga anak yang ramai serta ibu bapa atau pasangan yang uzur dan tidak sihat.
“Apabila memiliki bilangan anak yang ramai, salah seorang pasangan akan memilih untuk berhenti bekerja kerana kos penjagaan anak yang tinggi berbanding pendapatan selain tidak mempunyai masa yang cukup.
“Justeru itu, cadangan yang diberikan oleh Perdana Menteri memberi sinar baharu kepada golongan wanita di Malaysia sekali gus boleh meningkatkan kesejahteraan isi rumah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri semalam ketika berucap pada Hari Wanita 2021 menyarankan agar Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Sumber Manusia melihat kesesuaian BDR untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh.
Beliau yang juga merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini perlu bagi memberi keringanan buat penjagaan ahli keluarga yang uzur, dan sakit di samping dapat menyokong isteri dalam hal penjagaan anak yang baru lahir
Beliau berkata, langkah tersebut bagi menggalakkan tanggungjawab bersama dan membolehkan wanita kekal dalam sektor pekerjaan serta meningkatkan produktiviti kerja golongan tersebut.
Justeru itu, Adnan turut menyarankan agar Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Sumber Manusia sewajarnya menyambut baik cadangan ini dengan bertindak membuat penilaian segera.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, CUEPACS berharap kerajaan dan majikan termasuk di pihak swasta dapat menyediakan persekitaran kerja yang baik bagi melaksanakan konsep BDR tersebut.
Tambah beliau, persekitaran kerja yang baik itu perlu meliputi kemudahan capaian internet, komputer riba serta kelengkapan lain seperti yang dinikmati pekerja yang bekerja di pejabat.
“Tiada gunanya jika kita melaksanakan konsep BDR ini tetapi hasil atau produktiviti yang kita harapkan tidak dapat dicapai akibat daripada persekitaran kerja yang tidak sesuai di rumah.
“Pada akhirnya yang dipersalahkan adalah golongan pekerja kerana tidak menepati kriteria produktiviti yang ditetapkan sedangkan mereka ini berhadapan dengan masalah yang kita tidak ketahui.
“Sekiranya konsep ini mahu diperkenalkan pada masa akan datang, ia perlu dirangka dengan pendekatan yang menyeluruh agar tidak menjadi sia-sia,”katanya.- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH