9 MAC: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nizam Alias ditamatkan kontrak perkhidmatan berkuat kuasa 22 Febuari lalu.
Berikutan itu, Prasrana mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Norlia Noah akan memangku jawatan Presiden dan CEO Prasarana berkuat kuasa 23 Februari.
Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata, penamatan kontrak Nizam dibuat selepas ahli lembaga pengarah membuat pertimbangan secara mendalam dengan mengambil kira secara keseluruhan isu yang berlaku.
“Kita buat pertimbangan secara adil, tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan ini kerana kita tahu perkara ini berbangkit dari akhir November lalu, sudah tiga bulan dan dalam tempoh itu kita bayar gaji macam biasa,” katanya pada sidang media pengumuman pemangku presiden dan Ketua pegawai eksekutif kumpulan (CEO) Prasarana di Ampang hari ini.
Dalam pada itu, Tajuddin juga mengumumkan perlantikan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Isham Ishak sebagai Ahli Lembaga Pengarah Prasarana yang baharu.
Sebelum ini, media melaporkan Nizam digantung tugas bermula 9 Disember lalu dengan alasan salah laku dan keingkaran. Berikutan itu, Prasarana menubuhkan satu jawatankuasa khas terdiri daripada anggota lembaga pengarah bagi menjalankan siasatan terhadap Nizam.
Pada 8 Disember lalu, sebuah portal berita memetik sumber dalaman Prasarana mendedahkan penggantungan Nizam mempunyai kaitan dengan ketegangan dan perselisihan faham antara beliau dengan kepemimpinan tertinggi selepas Tajuddin dilantik sebagai Pengerusi Prasarana pada Mei tahun lalu.