9 MAC: Ratusan penunjuk perasaan daripada golongan muda di Myanmar dikepung pasukan keselamatan negara itu, malam tadi.
Menurut laporan media antarabangsa, polis menyatakan bakal membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah, selain memberi amaran akan menghukum sesiapa yang didapati menyembunyikan pihak diburu.
Susulan kejadian itu, ribuan orang membanjiri jalanan di bandar utama di Myanmar, sekali gus mengingkari arahan perintah berkurung pada waktu malam bagi menunjukkan sokongan kepada belia di daerah Sanchaung terbabit.
Kedengaran laungan ‘Bebaskan pelajar di Sanchaung’, manakala pasukan keselamatan dilihat melepaskan tembakan untuk menyuraikan mereka.
Penduduk dan perkhidmatan berita tempatan melalui laman sosial, mendakwa 20 individu ditangkap di Sanchaung selepas polis melancarkan pemeriksaan di rumah, setakat awal pagi tadi.
Kerajaan junta turut menyekat liputan media terhadap krisis di Myanmar apabila mengumumkan lesen lima syarikat media tempatan dibatalkan.
“Syarikat media ini tidak lagi dibenarkan menyiar, menulis atau memberi maklumat menggunakan sebarang jenis platform mahupun teknologi media,” kata satu kenyataan.
Tindakan sekatan itu didakwa dilakukan selepas kesemua lima syarikat media berkenaan giat membuat liputan insiden tunjuk perasaan membantah rampasan kuasa dibuat tentera, malah sering menyiarkan video dalam talian menerusi ‘streaming’ secara langsung.
Puluhan wartawan juga telah ditahan sejak rampasan kuasa itu.