10 MAC: Seorang daripada tiga wanita di seluruh dunia dilaporkan pernah berdepan keganasan fizikal atau seksual di dalam kehidupan mereka.
Laporan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu, baru-baru ini, mendedahkan berdasarkan kajian dijalankan badan dunia berkenaan dengan
membabitkan sejumlah besar wanita secara global, satu daripada empat wanita muda yang menjalin hubungan didapati pernah mengalami keganasan pasangan sendiri sebelum mencecah usia 20-an.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata kajian dilakukan pada 2018 hingga 2019 itu menunjukkan berlaku peningkatan keganasan domestik terhadap wanita susulan perintah sekatan di kebanyakan negara, namun laporan berkenaan tidak mengambil kira tempoh pandemik COVID-19.
“Laporan ini turut mengandungi data daripada 158 negara berkaitan keganasan fizikal dan seksual dalam kalangan wanita pada usia 15 tahun ke atas.
“Dianggarkan 736 juta wanita, iaitu hampir satu pertiga wanita di seluruh dunia menghadapi keganasan dari pasangan, bukan pasangan atau kedua-duanya, sekali seumur hidup mereka,” katanya.
Dr Tedros berkata, laporan kajian itu membimbangkan, justeru kerajaan, individu dan komuniti digesa memberikan perhatian terhadap perkara berkenaan.
“WHO menggesa agar kerajaan, individu dan komuniti untuk membantu membangkitkan masalah ini, termasuk gesaan perubahan undang-undang berkaitan wanita, memperkukuhkan ekonomi wanita dan hak kesamarataan terhadap wanita,” katanya.