10 MAC : Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri serta seorang individu direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah RM300,000 daripada seorang individu kononnya bagi membantu melepaskan 22 warga China yang ditahan di depoh imigresen.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Seorang wanita yang merupakan ejen pekerja asing berusia 41 tahun, disyaki bertindak sebagai orang tengah turut direman untuk membantu siasatan.
Menurut sumber, suspek yang merupakan Datuk Seri menerima wang itu daripada seorang individu kononnya bagi membantu melepaskan 22 warga China yang ditahan di depoh Jabatan Imigresen.
“Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira jam 8 malam tadi (semalam) di Pejabat SPRM Selangor manakala wanita itu telah ditahan pada 1 pagi tadi.
“Suspek mendakwa boleh membantu menyelesaikan kes penahanan 22 warga China berkenaan yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket judi dalam talian dan Macau Scam,” katanya.