10 MAC : Keputusan kerajaan membenarkan rentas negeri bagi tujuan pelancongan di antara negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memberi nafas baharu kepada pengiat industri pelancongan yang selama ini sudah cukup bertahan untuk meneruskan perniagaan.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Mohd Khalid Harun berkata langkah itu juga memberi peluang kepada agensi pelancongan untuk mendapatkan transaksi perniagaan seterusnya membantu pemandu kenderaan pelancongan.
“Dasar ini langkah yang baik dan sangat dialu-alukan kerana bakal membantu penggiat industri, khususnya agensi pelancongan yang terkesan kerana tiada orang yang menggunakan agensi pelancongan ketika ini.
“Kita ucapakan terima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri kerana memberi sedikit kelonggaran kepada mereka yang ingin melancong dan meringankan beban pengusaha pelancong khususnya kepada agensi pelancongan.
“Kita berharap agar semua pengusaha dan pengiat industri pelancongan menyambut baik perkara ini kerana ini merupakan satu permulaan yang baik untuk menghidupkan semula aktiviti pelancongan domestik,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Terdahulu, kerajaan semalam bersetuju membenarkan aktiviti pelancongan merentas negeri dibenarkan antara negeri-negeri di bawah PKPP menerusi program Gelembung Pelancongan Bersasar, mulai hari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain mempunyai standard operasi prosedur (SOP) yang ketat, mereka yang ingin melancong hanya dibenarkan menggunakan syarikat agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan pergerakan secara bersendirian adalah tidak dibenarkan.
Beliau berkata, agensi pelancongan juga perlu mendapatkan kebenaran merentas negeri dan tidak dibenarkan untuk berhenti singgah ke mana-mana dan perlu terus ke destinasi yang ingin dituju.
Dalam pada itu, Mohd Khalid menyeru agar orang ramai di negeri-negeri yang dibenarkan menggunakan peluang ini yang bukan sahaja dapat melancong, malah dapat membantu agensi pelancongan menambah pendapatan mereka yang selama ini telah terjejas.
“Jadi, kepada rakyat Malaysia, gunakan peluang ini untjk membantu bersama-sama, kita bantu kita yang akan menunjukkan rakyat Malaysia bersama-sama membantu menjayakan pelancongan domestik,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyarankan agar pengusaha bas persiaran menyewakan bas mereka kepada agensi pelancongan yang tidak mempunyai perkhidmatan tersebut.
“Siapa yang ada bas mungkin boleh menggunakan agensi pelacongan yang tiada bas. Mereka boleh membuat iklan atau promosi secara bersama di tempat pelancongan sama ada di pantai mahupun taman tema. Inilah masanya gunakan bas-bas pelancongan dengan meluas.
“Begitu juga kerajaan yang boleh menggunakan bas persiaran untuk majlis-majlis keramaian seperti mesyuarat ataupun majlis-majlis rasmi yang memerlukan perkhidmatan bas-bas pelancongan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH