11 MAC : Dua pelajar tular di media sosial yang membonceng motosikal sambil memakai baju sekolah tertera perkataan kesat terhadap guru pada belakang mereka , Rabu lalu didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan atas pertuduhan menghina.
Kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 17 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar berkenaan didakwa memakai baju yang mempunyai tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bulatan Chempaka, Kota Bharu pada jam 4 petang, 3 Mac lalu.
Kedua-dua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, S Gayathri, manakala tertuduh diwakili peguam bela Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Malaysia, Nik Nazriani Nik Abd Rahman.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM100 dengan seorang penjamin selain menetapkan 22 Jun sebagaiu tarikh sebutan semula kes dan laporan akhlak.
Terdahulu, tular di media sosial tiga pelajar sekolah yang menunggang dan membonceng dua motosikal dipercayai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dipercayai baru selesai menduduki peperiksaan didapati memakai baju sekolah dengan tulisan kesat terhadap guru pada belakang mereka.
Salah seorang daripada mereka juga didapati tidak memakai topi keledar.
Tindakan itu menimbulkan kemarahan warga maya yang rata-rata menyatakan perbuatan tersebut melampaui batas dan perlu diambil tindakan undang-undang.