11 MAC: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, mengarahkan Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS) diaktifkan semula.
Beliau berkata, JAPAS diwujudkan bagi menangani isu ancaman akidah dan ajaran sesat di seluruh negara.
Katanya, JAPAS akan dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Jawatankuasa ini akan dianggotai Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan agensi penguatkuasaan berkaitan, sama ada peringkat negeri atau Persekutuan.
“Pada masa sama, jawatankuasa ini akan bermesyuarat secara berkala untuk merangka tindakan bersepadu bagi menangani isu ancaman akidah dengan efektif dan komprehensif,” katanya menerusi status dimuat naik di Facebook.