Kajian Analisis Keganasan Rumah Tangga Perlu Dilakukan
11 MAC: Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan kajian analisis terhadap semua kes pembunuhan sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini.
WAO menerusi kenyataan memaklumkan ini perlu dilakukan bagi melihat trend berkaitan keganasan rumah tangga dan pembunuhan yang melibatkan pasangan dan ahli keluarga.
Menurut kenyataan itu, keganasan rumah tangga dilihat kejadian berulang yang semakin meningkat dari masa ke semasa.
“Pembunuhan selalunya adalah hasil daripada penderaan yang berpanjangan, dan dirancang dan bukannya ‘jenayah keghairahan’ yang sering dipopularkan.
“Tanpa mengesan pembunuhan yang berkaitan dengan keganasan rumah tangga secara tepat, kita berisiko meremehkan kelaziman dan meminimumkan betapa seriusnya keganasan rumah tangga secara keseluruhan yang akhirnya mempengaruhi pemahaman kita mengenai keganasan rumahtangga di Malaysia,” katanya, hari ini.
Pertubuhan itu berkata demikian bagi mengulas perkembangan terbaharu yang menyaksikan kes pembunuhan seorang wanita yang telah ditembak oleh suaminya di Johor Bahru, baru-baru ini.
Selain itu, di Tawau juga turut dilaporkan seorang lelaki menetak leher isterinya yang sedang hamil sekali gus menyebabkan kematian.
Sementara itu, menerusi kenyataan sama, pertubuhan tersebut memohon agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan protokol yang lebih ketat dan jelas dalam mengendalikan kes melibatkan krisis rumah tangga.
WAO memberitahu, pendokumentasian kes dan pengesanan pembunuhan melibatkan rumah tangga perlu dilaksanakan pihak berkuasa.
““Ini sangat penting bagi responden pertama seperti polis, untuk mengesan dan bertindak secara tepat terhadap kes-kes keganasan rumah tangga yang berulang.
“Ini kerana keganasan akan terus meningkat seiring dengan waktu, ini juga membolehkan polis untuk mengenalpasti kes yang berisiko tinggi dan bertindak dengan sewajarnya untuk menyelamatkan nyawa,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH