12 MAC: Seramai 330 individu menerima notis kompaun bernilai RM10,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam terkini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kompaun itu dikenakan kepada mereka yang mengulangi kesalahan hingga mengundang risiko jangkitan.
“Orang ramai seharusnya menjadikan nilai kompaun itu sebagai satu peringatan agar tidak mengambil mudah berhubung pematuhan SOP.
“Kita kena ingat peraturan ini dilaksanakan demi keselamatan pengunjung lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus ‘Private Pilot’s Licence (PPL)’ no 18 Siri 01/2019 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara PDRM, hari ini.
Semalam, Abdul Hamid berkata nilai kompaun kerana melanggar SOP PKP dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000.
Langkah itu berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan bermula 11 Mac 2021.