12 MAC: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi, baru-baru ini menyaksikan lima pencapaian membanggakan untuk perkembangan hal ehwal Islam di Malaysia.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, kejayaan itu berkaitan kuota haji, umrah, jalan Makkah, hal ehwal agama dan industri halal.
Daripada aspek kuota haji, Malaysia menerima 10,000 tambahan kuota bagi memberi peluang kepada lebih ramai jemaah negara ini menunaikan rukun Islam kelima itu apabila kebenaran mengerjakannya diberikan pada masa depan, selepas COVID-19 pulih.
Kerjasama umrah pula membolehkan rakyat Malaysia menjadi individu terawal untuk menunaikan ibadah itu sebaik kerajaan membuka sempadan negara dan membenarkannya.
Bagi inisiatif perkhidmatan jalan Makkah, usaha itu akan memudahkan proses prapelepasan jemaah Haji dan Umrah Malaysia.
Kejayaan kerjasama hal ehwal Islam pula, menyaksikan kerancakan aktiviti dakwah dan bimbingan, latihan dan penyelidikan akademik, masjid dan tadbir urus Islam serta al-Quran dan al-Sunnah.
Menerusi industri halal, kedua-dua negara dapat memperkukuhkan kerjasama dalam bidang itu.
Perkara berhubung pencapaian membanggakan Malaysia itu dimaklumkan Zulkifli melalui muat naiknya di Facebook, hari ini. Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN