12 MAC: Arab Saudi membenarkan penerbangan antarabangsa dan pembukaan penuh semua lapangan terbang di seluruh negara itu, bermula 17 Mei depan.
Menurut surat pekeliling dikeluarkan Penguasa Umum Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) yang mengesahkan perkara itu, semua syarikat penerbangan di lapangan terbang negara terbabit juga diberitahu tarikh untuk membenarkan warganegaranya melakukan perjalanan ke luar negara.
“Sekatan penerbangan antarabangsa turut ditamatkan dan lapangan terbang negara berkenaan dibuka sepenuhnya,” menurut surat pekeliling itu.
Menurut portal berita Saudi Gazette, berdasarkan pekeliling bertarikh 12 Januari lalu itu, GACA memaklumkan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan sepatutnya dilaksanakan lebih awal, iaitu pada 31 Mac,
Ini bermakna, arahan dikeluarkan pada 29 Januari lalu bagi pembukaan semula laluan laut, darat dan lapangan terbang yang sepatutnya pada 31 Mac ini dilanjutkan sehingga 17 Mei ini.
Pihak berkuasa pula menekankan kepentingan untuk semua pihak mematuhi protokol pencegahan dan langkah berjaga-jaga, selain arahan yang dikeluarkan jawatankuasa tertinggi berkaitan hal ini bagi membendung penyebaran wabak COVID-19 di negara itu.