12 MAC: FGV Holdings Bhd (FGV) mengumumkan bahawa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah membeli 467,300 lagi saham FGV pada harga RM1.30 sesaham di pasaran terbuka.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata pembelian itu dilakukan berdasarkan tawaran pengambilalihan wajib tanpa syarat oleh Felda untuk memperoleh semua saham FGV yang masih ada.
Menurut laporan media baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Felda, yang telah memiliki 77 peratus kepentingan dalam FGV, hanya memerlukan 13 peratus lagi kepentingan ekuiti dalam kumpulan perladangan itu untuk menyahsenarai ia dari Bursa Malaysia.
Langkah itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk membantu Felda memulihkan dan mengukuhkan kedudukan kewangannya, yang juga akan memberi manfaat kepada peneroka, katanya.