12 MAC : Permohonan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di tolak oleh Mahkamah Tinggi di hari ini.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin selepas mahkamah mendapati, alasan permohonan Abdul Azeez adalah tidak bermerit.
“Mahkamah mendapati pertuduhan yang dikenakan terhadap Abdul Azeez adalah tidak cacat. Tertuduh juga gagal menunjukkan pendakwaan terhadapnya adalah bersifat mala fide (berniat jahat).
“Mahkamah juga mendapati, pada peringkat ini adalah terlalu awal untuk mahkamah menentukan sama ada pertuduhan itu adalah tidak berasas,” jelasnya.
Abdul Azeez, 54, yang juga Ahli Parlimen Baling, Kedah, menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.