12 MAC: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang tidak mahu akan mencampuri urusan mengenai keputusan UMNO peringkat pusat namun akan memberi fokus kepada agenda Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
Pengerusi Bersatu Pahang, Datuk Saifudin Abdullah berkata, perkara tersebut kini dalam proses perbincangan bagi penubuhan PN Pahang dan mesyuarat akan diadakan pada 26 Mac depan.
“Kita tidak mahu komen keputusan yang dibuat pihak UMNO, kita faham Muafakat Nasional, hak masing-masing. Bersatu tidak buat keputusan untuk UMNO, UMNO yang buat keputusan daripada segi hubungan dengan Bersatu,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin memberitahu mesyuarat pada 26 Mac ini merupakan hasil perjumpaan tidak rasmi antara ketiga-tiga parti Melayu yang mendokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Menurutnya, penetapan tarikh itu dicapai apabila melihat ketiga-tiga parti telah bersedia daripada segi gerak kerja sebagai gabungan baharu untuk pilihan raya akan datang.
“Hasil tinjauan sambutan terhadap PN menerima respon positif di Pahang. Peringkat kawasan Parlimen yang saya pergi mendapat sambutan begitu baik, susasana pertermuan penuh kemesraan dan persahabatan.
“Masing-masing bersedia bekerja dalam gabungan yang baru untuk pilihan raya akan datang,” katanya.
Tambah beliau, apa yang menjadi keutamaan bagi Bersatu untuk mempertingkatkan kerjasama antara semua parti gabungan di dalam PN.
“Yang menjadi utama saya percaya Bersatu di seluruh negara ialah nak mengukuhkan hubungan bersama dengan parti-parti lain yang sudah berada PN,” katanya.