12 MAC: Wanita UMNO dan Dewan Muslimat PAS, meminta kerajaan segera mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad, berkata rayuan itu perlu dibuat selaras kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan demi memelihara kesuciannya.
“Ini juga bagi memastikan keharmonian hidup masyarakat berbilang agama dan kaum dengan menghormati hak serta kebebasan beragama yang diterapkan di negara ini sejak sekian lama.
“Justeru, Wanita UMNO dan Dewan Muslimat PAS secara konsisten sejak awal, menolak penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hakim mahkamah itu, Nor Bee Ariffin, kelmarin membuat keputusan membenarkan penganut agama Kristian di Malaysia menggunakan kalimah Allah, selain perkataan Kaabah, Baitullah serta solat dalam pembelajaran agama atau penerbitan buku agama mereka.