13 MAC: “Ada beberapa lagi mahu menyertai kami, terutama daripada parti pembangkang,” kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu kepada media, hari ini, bagi memberi bayangan lebih ramai pemimpin pembangkang dijangka menyertai Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, katanya, Bersatu ada membuat kenyataan berhubung kemasukan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak ke dalam parti itu.
Mereka, katanya, adalah ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, S Sivasubramaniam.
“Namun, apabila pilihan raya semakin hampir, kita akan melihat beberapa lagi pemimpin parti, terutama pembangkang akan menyertai sama ada Bersatu atau parti dalam PN,” katanya.
Sementara itu, berhubung pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), katanya, belum ada perbincangan antara UMNO, PAS dan Bersatu.
Ahmad Faizal berkata, apapun, hubungan antara ketiga-tiga parti itu masih kuat.
“Hubungan antara UMNO, PAS dan Bersatu masih kuat dan tidak wujud dakwaan mana-mana parti dibuli atau membuli,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN