13 MAC: Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, hari ini meminta maaf kerana tersilap berkongsi satu artikel berita tidak benar ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Nasional Tahunan ke 49 parti itu hari ini.
Dominic berkata beliau berbuat demikian kerana tersilap memetik veteran DAP Lim Kit Siang sebagai berkata, “Saya tidak pernah kata Najib korup” dan menyedari kesilapannya selepas Datuk Seri Najib Razak mengulas mengenainya di Facebook bekas Presiden UMNO terbabit.
“Saya minta maaf atas kesilapan yang saya lakukan. Sebagai ahli politik, kadang kala kita tak dapat bezakan mana berita palsu atau mana berita betul.
“Saya rasa (ini menunjukkan) keperluan untuk meluluskan satu undang-undang antiberita palsu, supaya kita akan lebih berhati-hati di masa hadapan. Kadang kala kita buat kesilapan,” katanya yang menjelaskan kesilapannya itu menjadi bukti perlunya undang-undang untuk membendung “berita tidak benar”.
Artikel yang ditunjukkan Diminic hari ini adalah versi yang telah disunting daripada laporan Sin Chew Daily pada tahun 2019 yang bertajuk: “Saya tak pernah kata Dr Mahathir Mohamad korup”.
Bagaimanapun, Dominic menjelaskan dia menerima versi palsu artikel itu menerusi WhatsApp dan sedia memberikan kerjasama kepada siasatan polis sekiranya ada laporan dibuat berhubung perkara itu .
“Saya baca Sin Chew setiap hari. Jadi ia nampak sama. Tak terlintas di fikiran saya ia (berita) palsu. Sekarang kita dah tahu ia palsu, saya minta maaf,” katanya.