13 MAC: Perwakilan Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mahu penguatkuasaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Wong Chia Zhen, berkata penguatkuasaan tersebut termasuk pendaftaran pemilih secara automatik.
“Harap boleh dikuat kuasa, tetapi saya dapat tahu ada beberapa negeri masih belum meluluskan rang undang-undang negeri yang mengizinkan pemuda dan pemudi menyertai proses demokrasi (undi) ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Pemuda Nasional Parti Gerakan ke-33.
Chia Zhen memaklumkan, Gerakan yang menjadi gabungan Perikatan Nasional (PN) itu, komited terhadap pembinaan persekitaran politik stabil di negara ini dan berpendapat perkara terbabit hanya wujud melalui komitmen berterusan melalui Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan, sebelum ini dilaporkan berkata, pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.