13 MAC: Keputusan berhubung hasil Mesyuarat Khas Panel Kajian Akidah yang diadakan semalam bagi membincangkan isu kalimah Allah, bakal diketahui dalam tempoh terdekat.
Menurut sumber, hasil keputusan mesyuarat yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), termasuk Penasihat Undang-Undang JAKIM itu akan dimaklumkan dalam satu kenyataan.
“Menteri dijangka keluarkan kenyataan berhubung hasil mesyuarat itu dalam beberapa hari lagi, mungkin juga minggu depan.
“Ini kerana keputusan mesyuarat itu perlu melalui beberapa proses, termasuk dirujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi PN BBC.
Zulkifli melalui muat naik statusnya di Facebook, memaklumkan beliau menghadiri mesyuarat terbabit bagi membincangan isu kalimah Allah untuk memutuskan tindakan susulan terbaik.
Mesyuarat itu juga, katanya mengambil maklum kenyataan dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memutuskan tindakan lanjut daripada aspek perundangan selepas menerima alasan penghakiman secara bertulis daripada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu kalimah Allah.
Pada 10 Mac lalu, mahkamah berkenaan memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, selain perkataan solat, Kaabah serta Baitullah dalam penerbitan agama itu untuk pendidikan dalam komuniti mereka. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN