13 MAC: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa mendedahkan tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen (MP) bakal mengikut jejak langkah bekas Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar, meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan mengumumkan menyokong Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, beliau difahamkan seramai tujuh hingga lapan orang lagi ‘kawannya’ memberi pertunjuk dan bersedia menyatakan sokongan kepada kerajaan PN.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata kebanyakan Ahli Parlimen berkenaan mengambil keputusan untuk berbuat demikian berikutan prestasi cemerlang ditunjukkan kerajaan PN khususnya menangani isu COVID-19.
“Sebenar lebih ramai pihak termasuk ahli Parlimen yang bersedia untuk memberikan sokongan kepada kerajaan PN.
“Saya difahamkan selain daripada Dr Xavier, ada lagi tujuh atau lapan orang lagi kawan-kawan saya ahli Parlimen yang ada memberi indikasi bersedia menyokong (kerajaan).
“Yang penting, kalau kerajaan kita ini berprestasi, maka akan ramai bersedia menyokong. Sebab itu tugas kerajaan sekarang adalah terus fokus dengan melaksanakan tanggungjawab yang ada termasuk tentang COVID-19, pemulihan ekonomi, perpaduan kaum serta kestabilan politiknya,” katanya selepas program walkabout ke Kiosk Usahawan Muda Kota dan Anjung Floria Putrajaya, Putrajaya hari ini
Bagaimanapun, Annuar enggan mendedahkan identiti ahli Parlimen berkenaan, sebaliknya beliau menjelaskan, dalam politik yang bersifat dinamik, perkara itu tidak mustahil berlaku.
“Tidak payahlah nanti, saya sebut ada pula orang yang menafikan tetapi realitinya begitulah. Dalam politik ini dinamik, kalau ada orang cakap nak keluar, ada orang nak masuk.
“Ada dengar tak orang cakap nak keluar, nak mufaraqah. Kalau bila cakap nak keluar dalam politik, dia macam hukum fiziknya, setiap tindakan ada kesannya,” katanya.