13 MAC: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin berharap keputusan Datuk Dr Xavier Jayakumar keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyokong Perikatan Nasional (PN), ‘membuka mata’ ahli Parlimen pembangkang lain untuk mengubah sikap mereka.
Zuraida berkata, keputusan Ahli Parlimen Kuala Langat itu juga diharapkan akan menukar sikap mereka kerana dilihat ‘tidak rasional’ dalam mengkritik kerajaan yang berusaha sebaik mungkin membantu rakyat.
“Mungkin dia (Xavier) sudah dapat kesedaran. Saya harap kesedaran ini adalah tulen, insyaAllah beliau akan dapat bersama-sama kerja dengan kita, menolong, membantu rakyat,”
“Saya harap dengan kedatangan beliau juga akan menyedarkan ahli Parlimen (pembangkang) yang tidak rasional dari segi mengkritik PN.
“Diharap kemasukan YB Xavier yang dilihat dalam kalangan orang yang mungkin sangat keras dengan pembangkang , mengubah sikap mereka,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.
Zuraida dan Xavier merupakan penyokong kem Azmin Ali pada pemilihan PKR yang diadakan pada tahun 2018.
Kedua-duanya memenangi kerusi bagi jawatan naib presiden.
Bagaimanapun Azmin dan Zuraida keluar daripada parti itu pada tahun lalu, bagi menyokong pembentukan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Xavier hari ini, mengumumkan keluar PKR serta merta selepas 23 tahun menganggotainya. Pengumuman dibuat melalui muat naik status di laman sosialnya itu, turut menyatakan beliau memberi sokongan terhadap PN dan akan meneruskan tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen bebas.